Ekologi Sosial Masyarakat Di Persisiran Pantai Prai dan Pulau Pinang

Ekologi Sosial Masyarakat Di Persisiran Pantai Prai dan Pulau Pinang
Prof. Madya Mohd. Razha Rashid Universiti Sains Malaysia

Pengenalan: Ethnografi Retrospektif
Lazimnya dalam olahan fakta sokongan dalam kaedah ethnografi rekonstruktif (reconstructive ethnography), iaitu pengambaran atau percitraan (imaging) corak dan bentuk (structure and form) masyarakat budaya budaya silam, empat unsur digunakan.

1. Melalui tafsiran peninggalan arkeologi berbentuk artifak budaya material termasuk peralatan memasak, memburu dan bertani serta kawasan perladangan dan perkuburan.
2. Sumber interpretasi berasaskan maklumat bukan benda: sastera lisan (folklore), penceritaan, peninggalan nama tempat pemukiman dan peninggalan tempat yang dianggap sacral seperti kubur atau prasarana upacara amal (ritual).
3. Melalui maklumat yang ditafsirkan secara retrospektif (retrospective interpretation) iaitu kaedah yang bermula dengan andaian bahawa struktur sosial, gaya hidup atau secara umumnya “budaya” masyarakat sekarang adalah fenomena sosial yang melewati episod perubahan sosial yang dianggap oleh ahli sejarah sebagai “turning point”.
4. Unsur ekologi-budaya iaitu olahan diskriptif bersabit ragam dan corak pengeluaran. Tiga keperluan asas yang terjalin dalam susunan bertimbal-balik menjadi papan tanda dalam ekologi sosial mengolah rekonstruksi
a) Sistem pengeluaran makanan dan segala struktur sosial yang bersabit dengan pengurusan, pengeluaran, penyimpanan dan penukaran.
b) Sistem jaminan keselamatan melibatkan proses pemilihan kawasan yang terjamin dari ugutan atau cabaran persekitaran.
c) Sistem pembentukan struktur penteduhan (shelter) dan segala struktur sosial, sistem kepercayaan bersabit dengan bentuk corak penginapan dan segala institusi yang menyokong.

Kertas ini membentangkan olahan ringkas ethnografi rekonstruktif berdasar empat unsur yang disebut. Bentuk dan corak pemukiman serta adaptasi sosial orang Melayu di persisiran pantai kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai Prai dan Pulau Pinang tidak jauh berbeza dari ragam pengeluaran dan corak penempatan orang Melayu sekarang dalam zaman sebelum bermula sejarah dicatit*(1)

Peninggalan Warisan Pemukiman Pra-Sejarah Seberang Prai
Dalam persejarahan pemukiman wilayah Pulau Pinang dan Prai berlaku dua episod sosio-budaya yang bertindih, yang melibatkan pertembungan pemukiman antara kumpulan orang asli dan kumpulan yang umumnya dikenali sebagai ‘Melayu’*(2)

Dalam tahun 1860, cebisan tengkorak ditemui dalam himpunan kekerang sepuluh batu dari Sungai Muda di kawasan Penaga dan Tanjung Bendahari Seberang Prai (Province Wellesley) dan pada tahun 1934 sebatang tulang dagu ditemui dalam himpunan kekerang di Guar Kepah, Seberang Prai. Pada tahun 1863, tengkorak dikenalpasti oleh Professor Huxley, seorang ahli arkeologi terkenal, sebagai tengkorak dan tulang dagu satu bangsa yang sama iras dengan Palae-Malenesian. Dari peninggalan yang ditemui dan kajian jelas bahawa kawasan Seberang Prai diduduki oleh kumpulan kacukan (Australoid, Malanesoid dan Negritic Pymy) yang sekarang ini diklasifikasikan dalam kumpulan orang asli kaum Semang-Pangan. Oleh kerana pemukiman orang-orang Semang berbentuk pindah dan bersara hidup sekitar kawasan pusat maka cara memburu dan merumu pemukiman kumpulan ini biasanya diambil alih oleh kumpulan lain yang bermukim secara tetap. Bagi kumpulan yang ragam ekologi-budaya berteraskan pertanian tetap, terutamanya padi paya dan sawah di atas kawasan yang dipugar, sistem sosialjuga berteraskan institusi budaya yang menyokong ketetapan (permanency).

Pemukiman orang Melayu di persisiran pantai sejak abad ke 6 Masihi, dijelaskan oleh ahli sejarah berdasarkan sumber historiografi (Andaya 96:11). Malah muara semua sungai di persisiran Selat Melaka yang boleh dimudik dari Kuala Selinsing hingga ke Sungai Setoi menjadi pemukiman termasuk tiga sungai penting di persisiran Seberang Prai iaitu Sungai Kerian, Sungai Juru, Sungai Jejawi, Sungai Prai dan Sungai Muda*(3)

Orang Melayu mengambil alih penempatan orang asli Negrito-Semang di kawasan Seberang Prai melalui proses pemukiman meneroka bermudik ke hulu. Bagaimanapun, peninggalan orang asli di Wilayah Seberang Prai masih terukir dalam sebutan nama tempat. Yang paling jelas ialah Kubang Semang. Mengikut catatan ahli ethnografi awal (Evans 1937, Braddel 1954, Diffloth 1977) dua kumpulan Semang-Pangan tanah datar paling terakhir berada pada sekitar 1923 di kawasan Seberang Prai Selatan di sekitar Bandar Baru, di Guar Kepah serta Lahar Yoi ialah kumpulan Semang-Pangan dari suku Juru dan Yen (Yan) yang sekarang ditakrifkan sebagai kumpulan budaya/bangsa yang sudah pupus.

Pempupusan satu kumpulan budaya/bangsa adalah persoalan yang kompleks yang melibatkan faktor demografi ekologi dan geo-politik. Sebab kepupusan yang paling ketara ialah pertembungan dengan budaya yang ekologi-budaya lebih berbeza dalam pengendalian. Penempatan orang Melayu berteraskan pertanian padi bersawah memerlukan pemugaran tanah pamah dan secara langsung dan dalam jangkamasa panjang akan melanda ruang ekologi-budaya kumpulan Semang. Ekologi-budaya orang Melayu bersawah yang bercanggah secara langsung dengan ragam pengeluaran orang Semang-Pangan tanah datar (low country Semang) menyebabkan perunduran orang asli ke pendalaman tanah tinggi.

Pengedaran orang Semang dari Wilayah Seberang Prai berlaku sejak masa silam di sekitar 900 tahun dulu dan tiba pada pertengahan abad ke 16, hampir semua kawasan pantai di utara Semenanjung dipermukimkan oleh orang ‘Melayu’.

Ekologi Budaya Orang Melayu di Persisiran Pantai Seberang Prai
Ekologi-budaya orang Melayu di persisiran pantai di muara dari dulu hinggalah sekarang tidak banyak berubah. Ekologi-budaya penting dalam penubuhan pemukiman bagi orang Melayu (begitu juga dengan kaum lain di seluruh persisiran Selat Melaka) ialah padi dan protein dari tangkapan laut. Struktur dan organisasi sosial sistem kepercayaan dan corak adaptasi orang Melayu di zaman berkisar di sekitar padi dan ikan (laut dan sungai). Atas alasan ini maka jelas pilihan pemukiman orang Melayu di Seberang Prai dan di juga Pulau Pinang berkisar di selatan persoalan bersabit penanaman padi sawah dan penangkapan ikan. Oleh itu tidak sangsi bahawa tindakan untuk bermukim cara bermudik memugar paya untuk sawah padi di kawasan yang dekat dengan laut adalah suatu kelaziman dalam ekologi-budaya orang Melayu sejak berkurun.

Lazimnya, di mana ada tanah pamah berpaya bersisir sungai yang berkuala yang boleh dimudik (navigable upstream) akan ada penempatan. Penempatan yang bercorak ekonomi cempuran bersawah dan bernelayan (dual economy settlement) memang jelas wujud sejak kurun ke 6 di persisiran tiga sungai besar di persisiran Seberang Prai: Kuala Sungai Muda, Kuala Sungai Juru dan Sungai Jejawi dan Sungai Kerian. Walaupun penempatan ini tidak dapat disahkan dengan peninggalan artifak arkeologi, namun dengan sorotan ekologi-budaya boleh dipastikan bahawa Seberang Prai telah dipermukimkan oleh orang Melayu sejak sekurang-kurangnya 1000 tahun.

Episod sejarah yang menampakkan dengan jelas kependudukan orang Melayu di Seberang Prai ialah kedatangan pelarian dari Kedah di Seberang Prai bila saja Kedah terancam.
Pada tahun 1826, apabila Siam menyerang Kedah, pelarian dari Kedah Tengah menuju terus ke ketiga kawasan ini kerana di sini adalah pemukiman yang tersedia dengan ‘infrastruktur’ iaitu kawasan tanah pamah berpaya yang telah dipagar untuk sawah dan perkampungan. Malah mengikut penelitian Kapten James Low pada tahun 1825, keseluruhan Wilayah Seberang Prai dan beberapa penempatan di Pulau Pinang dikenal pasti sebagai tapak pemukiman orang Melayu sudah lama wujud sebelum kehadiran orang Inggeris. (Low 1972 (1826)). Akan tetapi pada sekitar 1820’an, pertambahan penduduk di Pulau Pinang meningkat dengan mendadak atas sebab kekacauan berlakudi negeri Kedah, Pulau Pinang dan Seberang Prai menjadi destinasi pelarian serangan Siam.

Penempatan Melayu di Pulau Pinang Mengikut Historiografi
Sebelum pengambilan Pulau Pinang secara rasmi dari Kerajaan Kedah, penempatan yang dikenali sekarang sebagai Georgetown dikenali sebagai Tanjung Penaga adalah tempat persinggahan dan tanda navigasi bagi pelayar yang belayar dari Kedah ke Perak dan ke Pidi, Sumatera. (Ahamd Jelani 1999)
Pengedaran orang Semang dari Wilayah Seberang Prai berlaku sejak masa silam di sekitar 900 tahun dulu dan tiba pada pertengahan abad ke 16, hampir semua kawasan pantai di utara Semenanjung dipermukimkan oleh orang ‘Melayu’.

Georgetown atau Tanjong Penaga terbukti sememangnya penempatan perkampungan singgah para nelayan dari Kuala Muda. Pemukiman di Pulau Pinang berasaskan ekonomi tani (sawah) dan penangkapan ikan tidak begitu meluas seperti di Seberang Prai. Bagaimanpun memang terdapat pemukiman di sekeliling pantai Pulau Pinang di luar kawasan penempatan Georgetown. Dua kawasan yang disebut sebagai kawasan sawah dan pemukiman yang sangat lama dan didiami sepenuhnya oleh orang Melayu ialah kawasan Sg. Batu Maung dan kawasan Sg. Batu, persekitaran Telok Kumbar. (Braddell 1861).

Kependudukan di Pulau Pinang berkembang dengan pesat, tertumpu pada persekitaran Georgetwon atau dalam sebutan tempatan, Tanjung. Pada tahun 1820, iaitu hampir 20 tahun selepas Pulau Pinang diambil secara rasmi dari kerajaan Kedah, penduduk Pulau Pinang berjumlah 35,000 orang. (Newbold. 1971 (1839)). Separuh dari penduduk dikategorikan sebagai “orang Melayu”. Bagaimanapun mengikut Low (1836), hampir setengah dari penduduk Melayu di Pualau Pinang bermukim di luar kawasan Tanjung; tersebar luar di sekitar perkampungan di keliling pulau dengan konsetrasi tertinggi di kawasan selatan Pulau Pinang, Batu Uban, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Mengikut penceritaan, perkampungan Batu Uban adalah antara pemukiman yang terawal dalam penempatan orang Melayu di pulau. Mengikut cerita, asalnya Batu Uban adalah tempat persinggahan pedagang Acheh yang belayar melalui selat antara Pulau Jerejak dan Pulau Pinang berulang-alik dari Kuala Merbuk ke Pidi. Walaupun Batu Uban tidak menepati suasana ekologi-budaya orang Melayu (ketiadaan tanah pamah untuk sawah atau anak sungai atau carok membekal air tawar), lokasi penemptan ini adalah terpelihara dari gelombang dan angin. Perkampungan nelayan Melayu dan Acheh tertumpu pada sebuah perigi air tawar yang terletak di kawasan yang dipasangi air masin. Begitu juga tanah perkuburan di Batu Uban adalah antara kubur yang terawal di Pulau Pinang.

Penempatan lain di Pulau Pinang dan Seberang Prai adalah bercorak penempatan berasaskan ekonomi bersawah dan disampingkan dengan penangkapan ikan. Mengikut Low, teknologi persawahan dan pengawetan bahan makanan orang Melayu sama dengan amalan orang Siam dari orang Melayu Rawa di Sumatera (Low 1972 (1839) : 10-16)

Penutup
Penempatan orang Melayu di persisiran pantai dan sungai di Seberang Prai dan di Pulau Pinang adalah pemukiman yang lama. Di samping itu penemuan arkeologi dan peninggalan nama tempat menunjukkan bahawa Wilayah Seberang Prai dan Pulau Pinang didiami oleh kumpulan bukan Melayu, keturunan Semang-Pangan (orang asli dalam istilah kontemporari). Beberapa faktor yang menjadi pendorong bagi pemukiman di kawasan ini. Disamping sebab utama persekitaran yang sesuai, kawasan ini juga berdepan dengan laluan perdagangan di antara Kedah, acheh dan Perak. Francis Light menyedari lokasi strategik wilayah ini dan menjadikannya pusat perdagangan Inggeris yang terawal di rantau nusantara.

Di bawah tangan Inggeris, Pulau Pinang berkembang dengan pesat dengan kependudukan yang berbudaya majmuk. Orang Melayu secara umumnya tinggal dari abad kedua sehinggalah ke hari ini relatifnya tidak berubah dari ekologi budaya. Sepanjang perkembangan Pulau Pinang, Penampilan orang Melayu didatangi oleh masyarakat lain, terutamanya kaun India dan Cina malah pemukiman yang dulu jelas diterokai oleh orang Melayu sudah diambilalih seperti mana 200 Melayu meminggirkan orang-orang asli.


Nota Hujung
*(1) Penulisan emperikal yang ditakrifkan sebagai bahan sejarah hanya wujud selepas kedatangan British, terutamanya pegawai tentera. Bahan lain adalah bahan historiografi dari sumber hikayat.Dua hikayat utama yang bersabit dengan Kedah iaitu Hikayat Petani dan Hikayat Merong Mahawangsa. Untuk maklumat lanjut tentang historiografi, sila rujuk Andaya 1982, 7-36.

*(2) Istilah Melayu digunakan dalam kontek penggunaan generik sepertimana yang digunakan oleh penulis Inggeris seperti J. Low, Braddell dan J. Cameron. ‘Classificatory Malay’ termasuk orang Bugis, Minangkabau, Melayu Deli dan Mendeling. Istilah Melayu termasuk orang keturunan arab dan jawi peranakan atau jawi pekan. Pada tahun 1923 jawi peranakan dan arab di Pulau Pinang dibanci sebagai berasingan dari kategori Melayu.

*(3) Empat sungai penting di Seberang Prai tidak disebut secara langsung dalam bahan historiografi secara extrapolasi dari bahan bukan Inggeris, erutama Hikayat Petani dan catatan pelayar muara sungai ini dicatatkan sebagai tempat pedagang awal (kurun 4-6) membeli barangan hasil hutan yang dibawa ke India dan China. Untuk maklumat lanjut, rujuk Ahmad Jelani Halimi (1999).

Rujukan

1. Andaya B.W dan L.Y Andaya A History Of Malaysia McMillan. London 1982.
2. Ahmad Jelani Halimi Perdagangan Dan Perkapalan Melayu Di Selat Melaka Pada Abad Ke 15 Hingga Ke 18. Tesis PhD, Universiti Malaya 1999.
3. Braddell, T Statistics On The British Possessions In The Straits Of Malacca. Penang 1861.
4. Diffloth, B Aslian Languages And South-East Asian Prehistory, Paper Presented At Conference On Orang Asli Ethnography. Universiti Malaya Kuala Lumpur 1977.
5. Evans, Ivon HN Studies In Religion, Folklore And Customs In British North Borneo And The Malay Peninsular. Frank Cass, London 1970 (terbitan asal 1923).
6. Low, James The British Settlement Of Penang. Oxford University Press. 1972 (terbitan asal1826)