Hubungan Kedah-Pulau Pinang

Hubungan Kedah-Pulau Pinang, 1786 – 1900

Kertas ini akan membincangkan hubungan Kedah – Pulau Pinang dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Bukanlah juga matlamat kertas ini untuk memperincikan sernua aspek tersebut tetapi hanya mengupas isu dan persoalan-persoalan hubungau dua hala negeri berjiran ini. Pulau Pinang sebelum 1786 merupakan sebahagian negeri Kedah- Demikian juga Seberang Prai sebelum 1800 adalah sebahagian Kedah. Namun selepas daripada itu Pulau Pinang mula mencipta identitinya sendiri sebagai koloni British.

 Hubungan Politik

Penyerahan Pulau Pinang

Meskipun pembentukan Pulau Pinang sebagai identiti yang terpisah daripada Kedah bermula pada tahun 1786 tetapi prosesnya bermula lebih awal. Kelahiran Pulau Pinang sebagai pelabuhan penting di rantau ini berkait rapat dengan usaha Francis Light.*(1) Francis Light fasih berbahasa Melayu, dan ini menyebabkan beliau disenangi raja-raja dan pembesar Melayu. Salah seorang sultan yang mempunyai hubungan rapat dengan beliau ialah Sultan Muhammad Jiwa.*(2) Sejak 1770-an, Francis Light sedang meneliti peluang-peluang perniagaan di Acheh.*(3) Pada masa yang sama Francis Light menerima permintaan daripada Sultan Muhammad Jiwa bagi membantu baginda mengatasi masalah dalam negeri dan ancaman Bugis yang berpengkalan di Selangor. Francis Light mengambil daya usaha mengutus surat kepada Gabenor Jeneral di Madras pads bulan Mac 1771 untuk memaklumkan hal tersebut tetapi tiada jawapan.

Sultan Muhammad Jiwa mulanya menawarkan kepada Inggeris pelabuhan Kuala Kedah untuk dijadikan stesyen perniagaan tetapi pada November 1771, baginda menambahkan tawaran kawasan pajakan meliputi pantai Kedah, bermula dari Kuala Kedah hingga ke Pulau Pinang. Ini telah mendorong SHTI (Syarikat Hindia Timur Inggeris) untuk berunding dengan Sultan Muhammad Jiwa. Pihak kompeni menghantar Edward Monkton pada tahun 1772 tetapi rundingan gagal kerana personaliti Edward Monkton yang tidak menarik hati sultan, dan tiadanya jaminan perlindungan. Sementelah tawaran asal sultan bukanlah untuk melibatkan secara langsung campur tangan politik lnggeris tetapi hanya sebagai pertunjukkan politik untuk mengertak Bugis. Apabila Sultan Muhammad Jiwa menyedari SHTI tidak mahu terlibat dalam urusan politik Kedah dan hanya untuk mendapat apa yang ditawarkan, sultan hilang sabar dan menamatkan rundingan.*(4)

Perundingan untuk mendapatkan Pulau Pinang hanya diteruskan pada masa pemerintahan Sultan Abdullah. Sultan Abdullah menawarkan Pulau Pinang kepada SHTI pada Ogos 1785 melalui Francis Light. Sultan Abdullah meletakkan syarat supaya SHTI memberi bantuan pertahanan. Kedah juga menuntut bayaran tiga puluh ribu ringgit Sepanyol atas alasan kehilangan beberapa monopoli perdagangan. Pihak SHTI beranggapan pembayaran wang tiga puluh ribu boleh diberikan tetapi masih tidak dapat menerima tanggungjawab pertahanan kerana perlu mendapat kelulusan ibu pejabat, di London.*(5)

Pada Mei 1786, Francis Light datang ke Kedah bersama 150 orang tentera dan tiga buah kapal.*(6) Dalam rundingan Francis Light dengan Sultan Abdullah, baginda mengemukakan enam syarat untuk dipertimbangkan.*(7) Bagaimanapun Sultan Abdullah agak terkejut apabila Francis Light memaklumkan beliau berhasrat menduduki Pulau Pinang walaupun keputusan daripada SHTI, di London belum diterima. Pada 10 Julai 1786, Francis Light bertolak dari Kedah dan berlabuh di Pulau Tikus, Pulau Pinang. Pada petang 11 Ogos 1786, Francis Light dan orang-orangnya menaikkan bendera Union Jack dan menamakan pulau tersebut, “Prince Of Wales” tetapi pulau ini lebih dikenali sebagai Pulau Pinang, Pinang atau Penang. Kibaran bendera Union Jack pada 11 Ogos 1786 sebenarnya tidak sah kerana tuntutan Sultan Abdullah masih tidak dipenuhi, dan belum ada perjanjian rasmi dimeterai. Francis Light juga nampak menyembunyikan fakta tentang permohonan Sultan Abdullah yang memerlukan sekutu pertahanan bagi menghadapi ancaman Burma dan Siam. Kebimbangan ini berasas kerana pada Februari 1786, Burma menyerang Pulau Salang, dan Siam pula menyerang Patani pada November 1786. Jadi pendekatan Francis Light dianggap oportunis apabila tidak menyebut soal-soal pertahanan kepada kerajaan Benggala. Francis Light sedar jika hal ini diterangkan, pasti permohonannya menduduki Pulau Pinang ditolak.*(8) Malah dalam surat Francis Light kepada SHTI, beliau menyatakan dalam soal pajakan Sultan Abdullah sanggup menerima sepuluh ribu ringgit Sepanyol.*(9) Dalam surat yang lain, Francis Light menyebut Sultan Abdullah memerlukan bantuan Inggeris kerana ancaman Belanda. *(10)

Beberapa rasional dapat diambil kira keperluan Inggeris menduduki Pulau Pinang. Pulau ini dianggap sebagai jambatan yang dapat menghubungkan kepentingan perdagangan Inggeris dengan pedagang-pedagang tempatan di Kepulauan Melayu. Selain itu, Pulau Pinang dapat dijadikan tapak untuk mengembangkan pengaruh Inggeris di Borneo dan Kepulauan Indonesia. Pulau Pinang juga diharap dapat mengimbangi pengaruh Belanda serta mengawal Selat Melaka sebagai laluan perdagangan ke China. Kompeni juga berharap Pulau Pinang dapat menjadi pengkalan tentera laut untuk mengawal pantai Koromandel, di India dengan lebih berkesan. Terdapat juga cita-cita ideal untuk mengawal negeri-negeri Melayu merdeka. Bagaimanapun kepentingan peribadi Francis light turut menjadi agenda penting kerana beliau dan rakan kongsinya James Scott meraih banyak keuntungan melalui perkongsian dan perdagangan, pemilikan tanah, sebagai bankers dan peminjam.*(11)

Mesikipun Francis Light menduduki Pulau Pinang hampir setahun tetapi permohonan dan syarat yang dikenakan oleh Sultan Abdullah memperoleh jaminan bantuan tentera masih belum diputuskan. Ini memaksa Sultan Abdullah menulis surat lagi kepada pihak kompeni pada Mei 1787. Kornpeni hanya memutuskan Francis Light memberi perlindungan minima dan memastikan SHTI tidak berperang dengan Siam. Pada Januari 1788, Francis Light sekali lagi diingatkan hanya menggunakan pengaruh diplomasi sahaja untuk mengelak sebarang serangan ke atas Kedah. Dalam soal wang pajakan pula, SHTI turut menolak jumlah yang dituntut oleh Sultan Abdullah tetapi bersetuju dengan cadangan Francis Light untuk membayar sepuluh ribu Sepanyol sahaja. Malah menurut DK Basset,Even worse, the payment was to be made for only seven to ten years, after which Penang was to become the absolute property of the company. In return, the Benggal governments expected Abdullah to accept British supervision of Kedah’s relation with any European power or any person hostile to the company. *(12)

Sikap Inggeris ini menyebabkan Sultan Abdullah tidak boleh bergantung harap kepada SHTI, dan baginda cuba beralih kepada Perancis tetapi Perancis juga menolak tawaran Sultan. Apabila Sultan Abdullah meminta bantuan Belanda, mereka telah menghantar kapal perang mengepung Pulau Pinang manakala Sultan Abdullah menghalang kemasukan beras dan bekalan makanan lain ke pulau tersebut. Bagaimanapun perkatan ini hanya separuh jalan kerana Belanda bimbang melibatkan kos yang tinggi dan menghadapi pakatan Inggeris-Siam.

Sultan Abdullah mengatur strategi lain dalam menghadapi Inggeris di Pulau Pinang. Baginda beralih membuat pakatan dengan raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu. Pakatan ini melibatkan Siak, Lingga, Terengganu, Sulu, Johor, Indragiri, Siantan dan Kota Karang. Armada Melayu berjaya mengumpul 400 buah perahu kecil-besar, 120 pucuk meriam dan lapan ribu askar. Angkatan Kedah sendiri mempunyai kekuatan yang hampir sama. Pasukan Melayu yang bermukim di Prai lebih merupakan pertunjukkan kekuatan dan perundingan dengan Inggeris masih diteruskan oleh pihak Kedah. Sultan Abdullah masih bertegas mahu SHTI memenuhi tuntutannya melibatkan bayaran pajakan tetap, perlindungan ketenteraan bagi kawasan pantai Kedah atas perbelanjaan kompeni, pinjaman wang dan bantuan ketenteraan. Ketegangan kendur apabila Francis Light membayar sepuluh ribu ringgit dan Sultan Abdullah bersetuju memanggil balik tenteranya.

Hubungan Pulau Pinang – Kedah kembali tegang pada akhir tahun 1740 kerana pihak SHTI belum memutuskan secara rasmi permohonan Sultan Abdullah. Kedua-dua pihak mula mengumpulkan kekuatan tentera. Pada Januari 1791, kapal HMS Crown tiba di Pulau Pinang, dan bulan berikutnya dua kompeni Sepai tiba dari Culcutta. Manakala Sultan Abdullah menghantar 110 buah perahu ke Prai. Dalam pada itu Francis Light dapat merampas surat Sultan Abdullah daripada seorang pegawai Sultan. Francis Light menganggap isi kandungan surat sebagai pengisytiharaan perang walaupun sebenamya Sultan Abdullah hanya menuntut baki bayaran lima ribu ringgit. Dalam pada itu kekuatan tentera Kedah di Prai meningkat lapan ribu orang.*(13)

Francis Light mengambil kesempatan ini untuk mendapat keputusan muktamad. Beliau tidak lagi mengambil strategi bertahan tetapi mengubah kepada taktik menyerang. Francis Light telah menghantar Kapten Andrew Glass dengan empat buah kapal perang dan tiga kompeni Sepoi untuk menyerang Prai pada 19 April 1791. Pasukan Melayu dikalahkan dengan teruk dan ini memaksa Sultan Abdullah meminta damai. Pada 20 April perundingan dimulakan. Kedah diwakili oleh Tunku Syarif Mohamad, Tunku Alang Ibrahim dan Dato’ Penggawa Telibung manakala pihak Inggeris diwakili Francis Light sendiri. Dalam perundingan tersebut pihak Kedah masih rnengekalkan tuntutan asal tetapi sebagai pihak yang kalah perang semuanya bergantung kepada Francis Light. Francis Light cuma menawarkan 6 ribu ringgit Sepanyol sebagai penyelesaian awal wang pajakan sebelum bayaran lebih tinggi diputuskan oleh pihak SHTI. Apabila perwakilan Kedah membangkitkan soal pertahanan, Francis Light memendekkan perbincangan dengan menyatakan hal tersebut akan dibincangkan selepas penyerahan Kuala Muda, Prai dan Krian kepada SHTI. Perwakilan Kedah yang tidak diberi mandat membincangkan isu baru ini tidak dapat membuat keputusan tentang penyerahan wilayah baru, dan terpaksa menerima tekanan Francis Light.

Draf perjanjian ditandatangani pada 1 Mei 1791, dan perjanjian awal ditandatangani pada 12 Ogos 1791. Hanya pada 25 Februati 1793, SHTI membuat keputusan menerima perjanjian tersebut Pihak kompeni juga mengarahkan Pulau Pinang supaya memuaskan tidak ada pakatan pertahanan atau serangan dengan Kedah.*(14) Dengan perjanjian ini barulah rasmi Pulau Pinang diserahkan kepada SHTI. Perjanjian ini merupakan dasar perundangan mengesahkan hak kompeni ke atas Pulau Pinang kerana pendudukan sebelumnya tidak sah. Bagaimanapun perjanjian ini tetap tidak memuaskan hati Sultan Abdullah dan baginda hanya menunggu peluang untuk bertindak. Peluang ini tiba lima tahun kemudian apabila angkatan laut Perancis tiba di Kedah dan membuat perundingan dengan sultan. Sultan Abdullah bertindak menghalang perdagangan dan menyekat kemasukan bekalan makanan ke Pulau Pinang. Apabila British mengingatkan sultan yang langkahnya melanggar artikel 2 perjanjian 1791, baginda menuntut diadakan perjanjian baru. British menolak cadangan tersebut dan menghantar kapal perang mengugut sultan. Oleh kerana pakatan dengan Perancis tidak menjadi, Sultan Abdullah terpaksa membatalkan sekatan ke atas Pulau Pinang.

 


Nota Bujungan

*(1) Francis Light anak kelahiran Woodbridge, Surffolk, England Mendapat pendidikan di Seckford’s Grammar School. Memasuki angkatan laut ketika berusia 19 tahun. Tahun 1763 mula berkhidmat denga firma Jourdain, Sullivan dan de Souza, Madras. Francis Light kemudiannya dilantik sebagai kapten yang berdagang dengan negeri-negeri Kepulauan Melayu.
*(2) Dalam surat-surat Sultan Muhammad Jiwa kepada Francis Light misalnya membahasakan diri “anak kita Lait Kapitan Dewa Raja”. Lihat misalnya, Russell Jones, “Two Malay letter written by Sultan Muhammad Jiwa Muazzam Syah of Kedah to kapitan Francis Light,” JMBRAS, vol- LIV (3), 1981, h1m. 24-33.
*(3) Lee Kam Hing, 1995. The Sultanate of Aceh, Realtions with the British, 1760-1824, Kuala Lumpur. Oxford University Press.
*(4) Alfred P. Rubien, 1974. International Personality of the Malay Peninsula, Kuala Lumpur Penerbit Universiti Malaya, hlm. 119.
*(5) Francis Light berpendapat pampasan sepuluh ribu ringgit Sepanyol mencukupi dan beranggapan SHTI tidak perlu melayan semua tuntutan Sultan Kedah. Lihat, M. Stubbs Brown, “A History of Penang, 1805-1819,” Tesis M.A., Universiti Malaya,1963, hlm. 5.
*(6) Kapal-kapal tersebut – Elisa, Prince Henry dan Speedwell.
*(7) Syarat-syarat tersebut;
1) Kompeni Inggeris akan menjaga panti laut negeri Kedah, sebarang musuh yang menyerang Sultan Kedah ialah musuh kepada kompeni Inggeris dan perbelanjaan melawan musuh itu tertanggung kepada Kompeni Inggeris.
2) Semua kapal, tongkang, perahu besar-kecil dari Timur atau Barat yang datang ke pelabuhan negeri Kedah tidak boleh ditahan atau diganggu oleh Wakil kompeni Inggeris, melainkan hendaklah dibiarkan sahaja ikut suka hati mereka sama ada hendak berjual beli dengan kami (Kedah) atau dengan kompeni Inggeris di Pulau Pinang sebagaimana yang mereka fikirkan patut.
3) Barang-barang seperti candu, timah dan rotan ialah sebahagian daripada hasil Negeri Kedah. Oleh sebab Kuala Muda, Perai dan Krian yang mengeluarkan hasil-hasil itu terletak dekat dengan Pulau Pinang tentulah larangan kepada hasil-hasil itu diberhentikan dan Gabenor Jenderal hendaklah membenarkan beta menerima wang daripada Kompeni Inggeris sebanyak 30,000 ringgit Sepanyol setiap tahun.
4) Sekiranya Wakil Kompeni Inggeris memberi wang kepada sebarang keluarga Sultan Kedah, menteri-menteri, pegawai-pegawai atau rakyat Kedah, maka tidaklah boleh wakil Kompeni Inggeris itu membuat sebarang tuntutan kepada Sultan Kedah.
5) Sebarang orang calon negeri Kedah dengan tiada kecuali, sama ada ia putera atau saudara beta (Sultan Kedah) yang menjadi musuh beta, menjadi musuh juga kepada kompeni Inggeris dan Wakilnya Kompeni Inggeris tidak boleh melindungi mereka.
6) Jika ada sebarang musuh datang menyerang beta ikut jalan darat; beta minta pertolongan askar-askar, senjata-senjata atau peluru dan kompeni Inggeris akan memberi benda-benda itu atas perbelanjaan beta.
*(8) D. K Basset, 1965. ” Anglo- Malay Relations, 1786-1795″, JMBRAS, Vol. 38 (2).
*(9) Light kepada Cornwallis, 7 Mei 1787, SSR, 2.
*(10) SSR (10L), vol.3.
*(11) Sivachandralngam Sundara Raja, 1997. Perdagangan dan Pelabuhan Bebas, Sejarah dan Perkembangannya, Kuala Lumpur : Fajar Bakti, hlm. 104-105.
*(12) D.K basset, 1965, op cit, hlm. 199.
*(13) Sultan Abdullah berjaya mendapat bantuan daripada orang Illanun dari Mindanao.
*(14) Alfred P. Rubin, op.cit, hlm. 141.
*(15) Ibid.

1.2 Penverahan Seberang Prai dan Hubungan Kedah-Pulau Pinang sehingga 1821
Episod hubungan seterusnya yang penting ialah penyerahan Seberang Prai Pihak berkuasa Pulau Pinang melihat keperluan mengawal sepenuhuya kedua-dua bahagian pantai selat untuk tujuan strategi seperti hubungan Hong Kong dengan Kowloon. Sebab lain kerana Pulau Pinang mahu memastikan bekalan makanan berterusan terutama jika Kedah menyekat kemasukan makanan. Kompeni juga mahu menyekat pelabuhan Kuala Prai yang pesat berkembang menyaingi Pulau Pinang

Bagi pihak Sultan Dhiauddin yang menggantikan kekandanya Sultan Abdullah sanggup berunding dengan kompeni kerana,
Firstly it would bring him recognition as Raja of Kedah by the East India Company and thereby boost his standing in his own country. Secondly, and of greater importance to him, this recognition would in consequence entitle him not only the annual rent of $10, 000 for Pulau Pinang and `Province Wellesley’ but also the arrears of $6, 000 per annum owed by the company since Sultan Abdullah death in 1798.* (16)

Perundingan pengambilan Seberang Prai diusahakan oleh Lt. Gabenor Pulau Pinang Sir Goerge Leith. Beliau menghantar agennya, Mr. Caunter ke Perlis pada akhir Jun 1800 untuk berunding dengan Sultan Dhiauddin bagi mendapatkan wilayah Seberang Prai. Pada peringkat awal permohonan lnggeris dibantah oleh beberapa orang menteri tetapi setelah beberapa hari berunding mereka turut bersetuju.*(17) Satu ulasan yang menarik tentang status penyerahan ini dibuat oleh R. Bonney,
A close examination of parts of this Treaty reveals some very important point In the first place, Article one did not in any final way cede Pulau Pinang to the company but merely made reference to the company’s occupation of the island in relation to the specification as a rent for the island and “Province Wellesley”. *(18)

Hubungan Kedah-Pulau Pinang pada masa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah. Pada 1804, Lt. Gabenor Farquhar menasihat kompeni campur tangan dalam politik Kedah dengan membantu sultan yang menghadapi krisis politik dalam negeri. Bagi memastikan kejayaan campur tangan ini, beliau mencadangkan kompeni membantu Sultan Ahmad Tajuddin memodenkan pentadbiran mengikut sistem Inggeris. Bagaimanapun cadangan ini tidak mendapat sambutan SHTI.*(19) Sultan Ahmad Tajuddin sendiri cuba mendapat bantuan SHTI khususnya di bidang pertahanan. Sultan menghantar Bendahara berunding dengan pihak berkuasa Pulau Pinang untuk cuba mengatur perundingan antara baginda dengan Lt. Gabenor, di Pulau Tiga tetapi kompeni menasihatkan sultan supaya terus patuh kepada Siam.*(20) Pada 24 Disember 1810, Sultan Ahmad Tajuddin menghantar surat peribadi kepada Lord Minto untuk mendapat bantuan pertahanan tetapi ditolak.*(21) Sebenarnya pihak Kedah tidak berhenti berunding dengan pihak berkuasa Pulau Pinang untuk mendapatkan perlindungan ketenteraan sehinggalah penaklukan Kedah oleh tentera Siam pada 12 November 1821.


Nota Bujungan

*(16) R. Booney, 1974. Kedah 1771-1821, The Search For Security and Independence, Kuala Lumpur. Oxford Uni. Press, hlm. 109.
*(17) R.O. Winstedt. History of Malaya, h1m. 168-169
*(18) R. Bonney, op cit, hlm. 107
*(19) R.O. Winstedt, op cit, h1m. 169
*(20) Surat Farquhar kepada Gabenor Jeneral, 18 Sept. 1805
*(21) Surat Sultan Ahmad Tajuddin kepada Gabenor Jeneral India, 24 Dis. 1810

1.3 Hubungan Kedah- Pulan Pinang, 1821-42
Dalam jangka waktu ini ada dua konteks perhubungan. Pertama hubungan Pulau Pinang dengan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah dan kedua hubungan Pulau Pinang dengan pentadbiran Siam di Kedah. Pada masa penaklukan Siam di Kedah (1821-42), Sultan Ahmad Tajuddin diberi perlindungan oleh SHTI di Pulau Pinang, dan kemudian dihantar ke Melaka. Demikian juga dengan pelarian-pelarian Kedah yang berbondong-bondong memasuki Seberang Prai dan Pulau Pinang. Walaupun Gabenor Ligor dan pentadbiran Siam di Kedah meminta Sultan Ahmad Tajuddin diserahkan kepada mereka tetapi pihak berkuasa Pulau Pinang tidak melayan permintaan tersebut. Malah kerajaan Pulau Pinang menghantar tentera laut ke sempadan Kedah. Pulau Pinang akan meminta tentera Siam berundur. Ini kerana Pulau Pinang sedar jika Sultan Ahmad Tajuddin diserahkan, sultan akan dimasukkan ke dalam sangkar besi dan diletakkan di tengah kota Bangkok seperti yang dilakukan ke atas Raja Vientiane (Laos).*(22)

Semasa pendudukan Siam, pejuang-pejuang Kedah telah menggunakan Seberang Prai dan Pulau Pinang sebagai pengkalan mengatur strategi, mengumpul tentera, peralatan dan segala kelengkapan sebelum menyerang Kedah. Beberapa siri serangan besar-besaran dilancarkan ke atas Siam di Kedah pada tahun 1822, 1826, 1831-32, dan 1838-39.*(23) Ramai orang Eropah di Pulau Pinanng memberi sokongan kepada tuntutan politik Sultan Ahmad Tajuddin,
The unofficial community, including the European merchants and lawyers, were much more sympathetic, gave him advice, lent him money (so long as he could offer security) and joined in the conspiracy of silence over what they knew Malay plans for invading Kedah.*(24)

Bagaimanapun hubungan, politik Pulau Pinang Siam lebih memihak kepada Siam dalam konteks politik Kedah. Ini kerana SHTI lebih cenderung mengiktiraf pertuanan Siam ke atas Kedah. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan perjanjian Burney 1826.*(25) Pihak Inggeris juga berjanji tidak akan membantu Sultan Kedah dalam usaha merebut kembali takhta atau membenarkan baginda menerap di Pulau Pinang, Seberang Prai, Perak, Selangor atau Burma. Berdasarkan perjanjian inilah, pihak Pulau Pinang terpaksa membantu Siam setiap kali berlaku pemberontakan di Kedah khususnya mengadakan kepungan di laut.

Selepas pemberontakan Tunku Mohamad Saad pada 1838-39, pihak berkuasa Pulau Pinang menyedari bahawa cara penyelesaian Siam tidak akan dapat menyelesaikan masalah, bahkan akan lebih banyak merugikan kepentingan perdagangan British di Pulau Pinang jika peperangan berterusan. Sultan Ahmad Tajuddin sendiri menyedari bahawa baginda tidak akan mendapat semula takhta menerusi kekerasan, dan usianya juga semakin lanjut. Satu langkah sederhana telah dipilihnya. Baginda menghantar anakandanya Tunku Daei (apabila menjadi Sultan bergelar Sultan Zainal Rashid) ke Bangkok untuk mengadakan rundingan. Beliau membawa surat sokongan daripada Gabenor Bonham untuk disampaikan kepada Menteri Luar Siam, yang antara lain mengadakan British tidak akan membantu Siam lagi jika berlalu pemberontakan akibat keengganan Siam mengembalikan takhta kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah. Hasilnya, takhta Kedah dipecahkan semula kepada Sultan Ahmad Tajuddin tetapi dipecahkan kepada empat iaitu Kedah, Kubang Pasu, Perlis dan Setul.*(26)


Nota Bujungan

*(22) J.M Gullick, 1983. ” Kedah 1821-55, Years of Bxile and Return,” JMBRAS, vol-56 (2), hlm. 31.
*(23) Lihat misalnya Mohd Isa Othman, 2000, Protes Dalam Perspektif Sejarah Malaysia Pada Abad ke-19 dan Awal Abad Kedua Puluh, Kuala Lumpur : Utusan Pub.
*(24) J.M Gullick, op cit, hlm. 39.
*(25) Perjanjian Burney, Artikel 13 jelas mengakui Pertuanan Siam ke atas Kedah.
*(26) Mohd. Isa Othman, 1990. Politik Tradisional Kedah, 1641-1942, Kuala Lmpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 32-33.

1.4 Hubungan Kedah-Palau Pinang Selepas 1842 hingga 1900
Hubungan politik Kedah-Pulau Pinang nampak berjalan lancar kecuali beberapa isu berkaitan sempadan dan. wang pajakan Pulau Pmang. Isu penting ialah status Krian yang menjadi rebutan kerajaan Kedah dan Perak. Peranan Pulau Pinang dalam isu ini sebagai orang tengah tetapi lebih memihak kepada Perak. Sempadan antara Perak dengan Kedah kurang jelas pada masa ini. Pada tahun 1815, Sultan Mansur Perak menerima Krian sebagai sebahagian Kedah. Pada tahun 1850, J.R Logan ke Krian dan menemuduga penduduk di situ. Mereka mengakui Krian sebahagian Kedah tanpa menyedari perjanjian Inggeris-Siam 1826, mengiktiraf Krian sebahagian negeri Perak. Tindakan Sultan Ahmad Tajuddin untuk memastikan Krian di bawah Kedah pada tahun 1842 menimbulkan ketegangan. Pulau Pinang menganggap langkah Sultan Ahmad Tajuddin didorong oleh Siam untuk mengembangkan pengaruh hingga ke Perak. Walaupun begitu Gabenor Butterworth memberi amaran kepada Sultan Perak jangan bertindak ke atas orang Kedah, d Krian. Gabenor Butterworth menjemput Sultan Ahmad Tajuddin dan Tunku Daie ke Pulau Pinang untuk berunding menyelesaikan isu ini tetapi tidak berhasil. Sekali lagi Pulau Pinang terpaksa menggunakan senjata lama iaitu menghentikan pemberian wang pajakan Pulau Pinang dan Seberang Prai. British juga mengeluarkan amaran akan membantu Perak jika terpaksa menggunakan tentera. Akibat isu Krian, Kedah kerugian $35,000 sedangkan hasil daerah tersebut hanya $100 setahun. Kedah kemudiannya menyerahkan Krian kepada Perak.*(27)

2. Hubungan Sosial-Ekonomi Kedah-Pulau Pinang

Oleh kerana Pulau Pinang dan Seberang Prai asalnya sebahagian Kedah maka hubungan sosial kedua negeri ini begitu akrab, khususnya di kalangan masyarakat tempatan. Ini jika ditinjau dari aspek budaya, bahasa an kependudukan. Pada zaman pendudukan Siam (1821-42), ramai orang Kedah berhijrah ke Pulau Pinang dan Seberang Prai. Zaharah Mahmud menganggarkan 30,000 orang Kedah berhijrah ke Pulau Pinang dan Seberang Prai.*(28) Majoriti mereka terus menetap di sini walaupun selepas pendudukan Siam. Dari segi ekonomi, kemunculan Pulau Pinang telah mengambil-alih peranan entrepot Kedah, khususnya selepas menjadi pelabuhan bebas. Pada masa pemerintahan Sultan Abdullah hasil perdagangan Kedah dianggarkan $136,000 merosot kepada $80,000 pada 1870-an.*(29) Kedah kemudiannya muncul sebagai pengeksport bebas utama ke Pulau Pinang. Monopoli perdagangan beras sebelum permulaan abad ke-20 terletak di tangan Sultan dan golongan bangsawan.*(30) Pada tahun 1864, misalnya jumlah eksport beras Kedah ke Pulau Pinang bernilai $10,000. Ini mendorong kemasukan modal luar, khususnya dari Pulau Pinang untuk memastikan bekalan beras. Pemodal-pemodal ini kemudiannya memperoleh hak monopoli membeli daripada Sultan melalui sistem pajak. Bagi memasti dan meningkatkan jumlah bekalan padi, petani-petani Melayu digerakkan supaya memasuki jaringan komersil pemegang pajak melalui kaedah berhutang.*(31) Pembesar-pembesar yang mendapat konsesi membina terusan perairan sawah di Kedah juga dikatakan mendapat pembiayaan melalui pinjaman daripada pemodal-pemodal Cina atau ceti Pulau Pinang.*(32).Selain padi, pemodal-pemodal Cina dari Pulau Pinang turut terlibat dengan penanaman ubi kayu, khususnya di selatan Kedah. Sultan Kedah banyak memberi konsesi tanah untuk ladang ubi kayu menerusi sistem pajak. Bagaimanapun dengan kemasukan getah, ubi kayu mengalami kemerosotan. Pemodal-pemodal Pulau Pinang juga turut terlibat dalam sektor perlembagaan di Kedah, khususnya d Kulim dan Kuala Muda.*(33)

Walaupun Kedah tidak dijajah oleh British sehingga 1909, tetapi hubungan ekonominya dengan sistem ekonomi kapitalis bermula lebih awal terutama melalui hubungan dengan Pulau Pinang. Pada peringkat awal, Pulau Pinang menawarkan pasaran untuk beras, lembu-lembu, ayam, itik dan hasil-hasil pertanian lain dari Kedah. Para pemodal Pulau Pinang juga sudah ramai membuat pelaburan terummanya pedagang kaum Cina. Berhubung dengan peranan modal dari Pulau Pinang, seorang pegawal British mengulas,
Whilst, however, Kedah is politically an independent state under the suzerainty of Siam, commercially it is a mere independency of Penano Every dollar of capital invested in it has come from Penang and all its Chinese traders are connected with Penang Firm.*(34)


Nota Bujungan

*(27) J.M. Gullick, op cit, hlm 58-64.
*(28) Zaharah Hj. Mahmud, 1965. “Change in a Malay Sultanate: on Historical Geography of Kedah Before 1939,” Tesis Sarjana Sastera, University Malaya, hlm.17.
*(29) Ibid, hlm. 32.
*(30) Hj. Omar, 1986. Pembangunan Ekonomi Kaum Tani, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 74-74.
*(31) Mohd. Isa Othman, 2001. Pengalaman Kedah dan Perlis-Zaman Penjajahan British, Kuala Lumpur: Utusan Pub., hlm 37-38
*(32) Surat Sultan Abd. Hamid kepada Chakon Klakum, 3 Ogos 1881.
*(33) Mohd. Isa Othman, 2001, op cit. hlm. 51.
*(34) C.O. 273 Memo by Secretay for the Chinese Affairs in the Present Position Of Affairs in Kedah, 25 Januari 1905.

Kesimpulan
Adalah jelas hubungan Kedah-Pulau Pinang banyak mencorakkan situasi politik, ekonomi dan sosial kedua buah negeri ini. Pada amnya hubungan bersifat harmonis walaupun ada puncak-puncak krisis yang berlaku. Pulau Pinang yang asalnya sebahagian daripada Kesultanan Kedah telah mencorakkan identiti tersendiri bermula dengan pendaratan Francis Light di Pulau Pinang pada tahun 1786.