Pengenalan
Kajian ke atas keterlibatan orang Melayu-Muslim*(1) di Pulau Pinang di dalam kegiatan berbentuk bawah tanah sejak abad ke-19 membawa kita kepada senario sebenar permasalahan yang dihadapi, dan diwujudkan oleh sebuah kerajaan asing yang baru bertapak dan juga masalah yang bersifat dalaman dalam komuniti itu sendiri. Sifat sebenar kerajaan awal yang dibentuk pada 1786 yang melihat orang Melayu hanya layak melakukan kerja-kerja “membersih hutan” untuk kesenangan warga lain meneroka peluang ekonomi yang bakal menguntungkan orang Barat sebenarnya terbawa-bawa dalam pentabdiran berikutnya dalam menangani isu-isu yang berkait dengan masyarakat beragama Islam di negeri itu. Akhirnya perkara-perkara yang sangat jelas memerlukan campurtangan dan pemerhatian kerajaan diserahkan sepenuhnya kepada ketua-ketua orang Melayu yang dilantik.
Dengan meneliti senario ini kita akan lebih memahami mengapa kerajaan tidak begitu memberi perhatian terhadap kewujudan “persatuan-persatuan Kling” yang sering bergaduh yang disebut dengan tanpa nama di dalam dokumen kerajaan dan akhbar tempatan. Mereka dianggap sebagai kelompok pinggiran bagi kepentingan British. Orang Melayu, misalnya, seringkali dilihat sebagai bangsa pemalas – 3 orang buruh Cina disamakan denggan 5 orang buruh Melayu atau India*(2). Dengan tanggapan sebegini orang Melayu-Islam dibiarkan diuruskan oleh ketua masing-masing dan kurang mendapat perhatian kerajaan kecuali yang kaya raya seperti Tengku Syed Hussain, keturunan diraja Arab daripada Acheh yang sangat dialu-alukan kedatangannya bersama-sama kaum kerabatnya ke Pulau Pinang pada 1792. Tengku Hussain diterima baik kerana beliau merupakan peniaga rempah yang utama di antara Acheh dan Pulau Pinang.*(3)
Namun begitu cabaran terbesar kerajaan asing ini muncul berikutan meletusnya satu rusuhan besar di Pulau Pinang pada 1867 yang melibatkan pergabungan yang diluar jangkaan di antara kongsi gelap Melayu dan kongsi gelap Cina yang aktif di Pulau Pinang waktu itu. Peristiwa Rusuhan ini merupakan satu tamparan hebat kepada kerajaan yang akhirnya mendedahkan beberapa kelemahan di pihak kerajaan sendiri. Antara lain, ia menonjolkan kesan buruk dasar pecah perintah Sharikat India Timur Inggeris (EIC). Meskipun penempatan awal kelihatan sebagaimana kehendak EIC, misalnya, orang Cina menghuni kawasan bandar dan bergiat dalam ekonomi perniagaan dan sebagai buruh mahir sementara orang Melayu asli samada yang sudah lama tinggal di Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light atau yang datang dari Sumatera, menetap di luar bandar dan hidup sebagai petani dan bekerja kampung namun perhubungan di antara kelompok yang kelihatan terpisah dari segi penempatan ini tetap berlaku. Selain daripada orang Cina, orang India-Muslim, Jawi Pekan dan keturunan Arab turut mendiami kawasan bandar. Mereka juga merupakan golongan peniaga yang kaya dan berpengaruh. Golongan Islam yang tinggal di bandar ini akhirnya menjadi penghubung di antara orang Melayu-Muslim di luar bandar dengan aktiviti di bandar.
Selain daripada itu agama Islam turut menjadi ejen penyatuan yang penting. Walaupun dari segi penempatan orang-orang Islam kelihatan terpecah tetapi hakikat bahawa mereka seagama menjadi penyatu yang penting. Tambahan pula keperluan di tempat baru mewujudkan pergantungan antara satu sama lain malah melampaui batasan kaum. Justeru itu yang terbentuk di Pulau Pinang sebenarnya adalah satu masayarakat yang bersifat anjal dalam segenap aspek termasuk soal perkahwinan. Perkahwinan campur yang akhirnya membentuk masyarakat baru seperti Baba, Jawi Pekan*(4) dan keturunan Arab merupakan bukti penting perkara ini.
Rusuhan Pulau Pinang juga semakin mengesahkan kritikan orangramai terhadap kelemahan sistem pertahanan kerajaan. Perkhidmatan polis, misalnya, seringkali dikritik bukan sahaja kerana kegagalan membendung kegiatan jenayah di negeri itu tetapi juga kerana diisi oleh orang-orang yang tidak berdisiplin malah turut terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk kongsi gelap*(5). Masalah paling besar ialah bilangan polis yang tidak mencukupi untuk mengawal keadaan sehingga barisan pertahanan terpaksa dibawa daripada kawasan berdekatan. Kerajaan juga membentuk barisan pertahanan yang terdiri daripada orang Eropah dan Eurasian untuk mengawal jalan dan lorong di kawasan bandar. Gabungan kongsi-kongsi gelap yang terlibat kelihatan cukup lengkap sebagaimana barisan pertahanan kerajaan. Ia sebenarnya lebih berupaya daripada barisan pertahanan kerajaan kerana kongsi-kongsi Cina mempunyai bekalan senjata, bantuan kewangan dan tenaga pertahanan kecemasan yang adakalanya dibawa masuk dari luar Pulau Pinang. Bantuan-bantuan ini ditaja oleh taukeh-taukeh kaya yang kebanyakannya merupakan ketua kongsi gelap.
Kemunculan dan keterlibatan orang Melayu dalam persatuan-persatuan sulit juga berkait dengan masalah dalaman dalam komuniti itu sendiri. Bilangan penghuni asal berbangsa Melayu di negeri itu sangat kecil*(6). Dengan pertambahan pesat penduduk pelbagai bangsa dari negara luar maka ia memberi satu tekanan dan mengujudkan kecelaruan dalam soal membina identiti bangsa dan budaya. Identiti budaya apa yang harus mereka ikut apatah lagi dengan kemunculan masyarakat campur seperti Jawi Pekan, Baba dan Arab Peranakan. Kecelaruan memilih identiti mana yang harus diikut – sebelah bapa atau ibu, akhirnya memberi ruang kepada unsur dan budaya luar masuk dan bertapak kukuh di kalangan orang Melayu-Muslim di negeri itu. Boria yang dianggap identiti budaya negeri tersebut, misalnya, bukanlah milik orang Melayu asal. Ia terbentuk daripada percampuran budaya luar yang diterima baik oleh semua kelompok Melayu-Muslim. Permainan ini tidak dapat dibenteras dengan mudah oleh pihak berkuasa setelah mengetahui ia digunakan untuk tujuan kegiatan jenayah kerana kerajaan sendiri beranggapan ianya sebagai persembahan budaya yang harus dibenarkan.
Selain itu budaya ikut-ikutan jelas terlihat dalam aspek kehidupan berbudaya dan beragama. Orang-orang Melayu-Islam tidak keberatan mengikut cara orang Cina menubuhkan persatuan sulit dan juga tidak keberatan menyertai persatuan sulit Cina*(7). Dari segi beragama pula, mereka tidak keberatan menyambut perayaan Hindu seperti Duserrah seperti yang diamalkan di India sebagaimana lekanya orang yang beragama Hindu menyambut Muharram. Mereka tidak peka memilih ketua agama dan akhirnya menjadi pengikut guru agama yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap. Tuan Chee, pemimpin Bendera Putih dan Che Long, ketua Bendera Merah semasa Rusuhan Pulau Pinang, misalnya, mengetuai jumaah masing-masing. Che Long misalnya, mengetuai jumaahnya di Acheen Street yang seringkali dirujuk sebagai “kampong Che Long” sebagai menandakan pengaruhnya di kawasan tersebut. Beliau bukan sahaja kaya malah juga disifatkan oleh seorang saksi dalam satu siasatan yang diadakan selepas Rusuhan Pulau Pinang sebagai merbahaya dan boleh mencederakan orang lain atau mengarahkan pengikutnya untuk berbuat demikian*(8)
Kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri yang tidak beraja dan ketiadaan satu badan yang menguruskan hal ehwal umat Isam menyebabkan tidak ada unsur penyatuan di kalangan umat Islam. Orang-orang seperti Tengku Syed Hussain, kerana pengaruhnya yang kuat terhadap ekonomi dan hubungan baik dengan Francis Light, telah diberikan kebenaran bertulis untuk membentuk dan menguruskan hal ehwal kaum keluarganya berdasarkan undang-undang dan peraturan mereka sendiri. Kesemua kesalahan diadili mengikut undang-undang Islam dan kaum keluarganya dikecualikan daripada tindakan undang-undang British*(9). Ajaran-ajaran dari luar seperti sufi, tarikat Naqsyabandiah dan ajaran baru seperti Taslim yang diasaskan oleh Haji Muhammad Matahari pada 1870 di Kampong Seronok, Bayan Lepas bergerak tanpa kawalan pihak berkuasa. Keanjalan ini, beserta pergaulan dan persaingan ekoran kepesatan Pulau Pinang sebagai bandar kosmopolitan menjadikan apa sahaja kegiatan orang Melayu-Muslim terdedah kepada perubahan*(10)
Nota Hujung
*(1) |
|
Melayu-Muslim dalam konteks kajian ini merujuk kepada orang Melayu peribumi dan termasuk juga dari Indonesia yang beragama Islam, orang Tamil-Islam, Arab dan lain-lain golongan peranakan yang beragama Islam. |
*(2) |
|
Sarnia Hayes Hoyt 1991. Old Penang, Singapore: Oxford University Press, hlm. 40 |
*(3) |
|
Ibid., hlm 30, 83-84. |
*(4) |
|
Jawi Pekan merupakan masyarakat yang muncul hasil perkahwinan orang India dengan wanita Melayu. Masyarakat Baba pula terbentuk hasil perkahwinan orang Cina dengan wanita Melayu. |
*(5) |
|
Untuk melihat kritikan terhadap pasukan polis, lihat, antaranya, Pinang Gazette and Straits Chronicle (selepas ini disebut PGSC) 24 Julai 1847; PGSC 7 Ogos 1847; PGSC 7 April 1849. Pengarang akhbar mengkritik kegagalan kerajaan membendung kes-kes kecurian secara berkumpulan yang semakin meningkat sejak kebelakangan itu. Selain bilangan anggota polis yang tidak mencukupi, adakalanya balai penghulu (yang sepatutnya berfungsi sebagai tempat aduan) terletak 5 hingga 6 batu jauhnya dari tempat kejadian jenayah; PGSC 9 November 1850. Agak menarik, Ibu Pejabat Polis turut dirompak dalam satu kejadian rompakan yang turut membabitkan anggota polis sendiri; PGSC 3 Mei 1851. Pengarang akhbar mempersoalkan ketiadaan polis di tempat kejadian rompakan yang melibat 20 hingga 30 orang yang cuba menceroboh masuk ke rumah seorang perempuan Cina. Perompak melarikan diri setelah jiran-jiran perempuan itu datang memberi bantuan; PGSC 27 November 1852. Beberapa orang termasuk anggota polis ditangkap kerana berjudi; PGSC 16 November 1850. Orang-orang Jawi Pekan dan anggota polis dilaporkan menjadi ahli kongsi gelap Cina. |
*(6) |
|
Untuk statistik tentang penduduk, lihat, T. Braddell 1861. Statistics of the British Possessions in the Straits of Malacca, Pinang: Pinang Gazette Office. Jumlah penduduk Melayu pada 1786 hanyalah 100 orang. Jumlah ini meningkat kepada 33,959 pada 1830 dan 59,959 pada 1860. Pada tahun ini jumlah orang Cina mengatasi orang Melayu. Jumlah orang Melayu yang tinggal di Georgetown juga kecil iaitu 3,792 berbanding 16,928 orang Cina dan 7,310 orang India. |
*(7) |
|
Orang Melayu-Muslim yang menyertai kongsi gelap Cina terpaksa menjalani semua upacara kemasukan sebagai ahli sebagaimana ahli berbangsa Cina yang lain. |
*(8) |
|
Siasatan ini dikenali sebagai The Penang Riot Commission Report (selepas ini disebut PRCR.). Lihat, PRCR, saksi No. 39, Vapoo Merican Noordin, seorang peniaga di Chulia Street yang menetap di Acheen Street iaitu kawasan di bawah pengaruh Che Long. |
*(9) |
|
J. R. Logan (Peny.) 1850. “Notices of Pinang,” JIA, Vol. 1V, hlm. 655 |
*(10) |
|
Omar Farouk Shaeik Ahmad 1978. “The Arabs in Penang,” Malaysia in History, Jil. 21, Bil. 2, hlm.. 6-7. Pada 1806 ajaran sufi dibawa masuk ke Pulau Pinang oleh Hamid bin Bahman, seorang tokoh sufi yang terkenal dari Hadramaut. Untuk tinjauan lanjut tentang ajaran Taslim di Pulau Pinang, lihat Asmah bt. Abdul Manaf 1992. “Sejarah dan Perkembangan Pengaruh Ajaran Taslim Yang Diasaskan Di Pulau Pinang, 1870-1960,” tesis Sarjana Sastera, USM. |
Kongsi Gelap Bendera Putih dan Bendera Merah
Keterlibatan orang Melayu-Muslim dalam persatuan sulit boleh dilihat dalam 3 corak. Corak yang paling awal ialah penyertaan dalam kongsi gelap Cina. Meskipun cerita penyertaan orang Melayu sebagai ahli kongsi gelap Cina hanya diketahui pada 1850-an namun dipercayai penyertaan itu sudah lama berlangsung. Keterlibatan ini didedahkan oleh J. D. Vaughan, Penguasa Polis di Pulau Pinang (1851-56) yang menemubual seorang tuan haji yang pernah menyertai beberapa buah kongsi gelap Cina dengan kerelaan sendiri. Vaughan juga melaporkan seorang penghulu pernah menyertai Ho Seng dan tindakannya itu diikuti oleh seluruh penduduk di kampungnya*(11). Tindakan ini didorong oleh ketaksuban yang melampau terhadap golongan yang berstatus tinggi di dalam kampung seperti penghulu, orang yang bergelar haji mahupun orang kaya dalam sesebuah kampung. Corak yang kedua ialah menjadi ahli kongsi gelap Melayu semata-mata. Dua kongsi gelap Melayu yang paling awal muncul di negeri itu ialah Bendera Putih dan Bendera Merah*(12). Bentuk yang ketiga, ialah menjadi ahli kongsi Melayu dan pada masa yang sama turut menyertai kongsi gelap Cina. Corak ini sangat jelas kelihatan sewaktu perstiwa Rusuhan Pulau Pinang 1867. Penyertaan orang Melayu-Muslim dalam kegiatan kongsi gelap didorong oleh beberapa sebab. Kongsi gelap Melayu diwujudkan dengan hasrat untuk mencontohi cara kongsi gelap Cina melindungi kebajikan masyarakat Cina lebih-lebih lagi dengan kejadian jenayah yang semakin berleluasa ekoran pertumbuhan ekonomi yang pesat. Penyertaan di dalam persatuan sebegini dibuat secara sukarela dan adakalanya secara paksaan. Hal ini mudah berlaku. Jika seseorang itu tinggal dalam kawasan pengaruh sesuatu kumpulan Bendera, mereka akan diugut supaya menyertai persatuan tersebut. Sementara itu penglibatan orang Melayu-Muslim dalam kongsi gelap Cina berlaku kerana mereka mendiami kawasan yang sama.
Kongsi gelap Bendera Putih dan Bendera Merah sekurang-kurangnya telahpun wujud sejak 1830-an. Ia diasaskan oleh orang Jawi Pekan dengan tujuan asal menguruskan soal keagamaan seperti sambutan Muharram dan perarakan tabut*(13) serta menjaga kebajikan sosial seperti membantu menguruskan kenduri kendara perkahwinan, kematian dan sebagainya. Persatuan ini hanya mengambil orang-orang yang berkelakuan baik sahaja sebagai ahli mereka. Namun, tujuan asal ini berubah di sekitar 1850-an ekoran kehadiran lebih ramai masyarakat banduan yang diberi kebebasan menyertai sambutan Muharram dan kemunculan yang lebih cepat golongan Jawi Pekan sejak pengenalan sistem “ticket of leave” pada 1857 dan pengampunan sebahagian besar banduan ekoran perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat dari India ke London pada 1867*(14). Muharram kini bukan lagi merupakan sambutan keagamaan yang aman tetapi menjadi gelanggang membalas dendam*(15). Perubahan ini dibawa masuk oleh ahli-ahli yang berkelakuan jahat yang bergaul dengan ahli kongsi gelap Cina dan kemudiannya mempengaruhi ahli lain menyertai kegiatan mereka. Kumpulan ini jugalah yang bertanggungjawab mengheret Melayu-Muslim yang lain yang selama ini menjauhi kegiatan seumpama itu untuk turut serta dalam kegiatan mereka. Kehadiran anggota Melayu dalam kongsi gelap Cina sangat dialu-alukan. Ia memudahkan kongsi Cina berurusan dengan pihak polis kerana ramai anggota polis turut menjadi ahli kongsi gelap samada kongsi gelap Melayu mahupun Cina*(16).
Pergabungan Bendera Putih dan Ghee Hin berlaku pada 1865. Bendera Merah pula bergabung dengan Toh Peh Kong pada 1863. Banyak teori yang melihat nama Bendera Putih dan Bendera Merah adalah berasal daripada perkataan Cina yang menjadi kata kunci bagi kongsi gelap Cina waktu itu*(17). Di percayai lambang-lambang bendera “merah” dan “putih” mula digunakan sejak pergabungan itu. Permusuhan sesama kongsi gelap Melayu ini bukanlah bermotifkan politik tetapi lebih kepada semangat persaingan antara mukim tetapi kemudiannya diperalatkan oleh kongsi gelap Cina yang saling bermusuhan sebagai kekuatan tambahan bagi mencapai tujuan mempeluaskan kawasan pengaruh masing-masing. Meletusnya Rusuhan pada tahun 1867 adalah berpunca daripada pergaduhan antara Bendera Putih dan Bendera Merah semasa perayaan Muharram pada tahun berkenaan tetapi kemudiannya telah dipergunakan oleh Ghee Hin dan Toh Peh Kong untuk meneruskan permusuhan mereka. Peristiwa rusuhan ini digambarkan oleh saksi-saksi PRCR sebagai menggerunkan dan penuh kejadian ganas. Rusuhan ini melibatkan bukan sahaja kawasan bandar malah juga merebak ke luar bandar. Masjid menjadi markas utama Bendera Putih dan Bendera Merah. Gabungan 1,000 orang Bendera Merah dengan 3,000 orang Toh Peh Kong kelihatan lebih kecil berbanding kombinasi orang Bendera Putih dan Ghee Hin yang dikatakan berjumlah 25,000 orang. Namun kelebihan Toh Peh Kong ialah mereka memiliki lebih banyak senjata yang dibekalkan oleh pedagang kaya dan pembekal senjata di sekitar bandar.
Rusuhan Pulau Pinang juga mendedahkan bahawa pengaruh kumpulan Bendera begitu meluas di bandar dan kawasan luar bandar. Bendera Putih menguasai kawasan seperti Chulia Road, antara Chulia Road-Simpang Ampat, Hutton Lane, Macalister Road, Jalan Bahru, Pulau Tikus, Kelawei, Tanjung Tokong, Lorong Takia, Masjid Kapitan Kling dan Pintal tali. Kawasan pengaruh Bendera Merah pula seperti Titi Papan, Jalan Sampah, Dato Kramat, Ayer Itam, Sungai Pinang, Batu Uban, Bayan Lepas, Penang Road, Batu Maung, Kampung Bahru, Telok Jelutong, Sungai Gelugor, Sungai Nibong dan Telok Kumbar. Nampaknya sehingga 1867 sebahagian besar mukim di Pulau Pinang telahpun berada di bawah pengaruh kumpulan Bendera. Dari segi penyertaan, orang Melayu-Muslim daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dipercayai terlibat. Antaranya ialah guru, peniaga, pemungut cukai kerajaan, peon polis dan mereka yang bergelar haji*(18).Meskipun tidak dapat dipastikan bilangan sebenar orang Melayu-Muslim yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap namun dikatakan seramai 7,000 orang Melayu-Muslim telah keluar bersumpah di hadapan Sheikh Omar Basheer yakni tokoh agama yang telah diberi mandat oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut*(19). Tindakan keluar bersumpah ini adalah berikutan satu fatwa yang dikeluarkan oleh Sheikh Omar pada 4 Ogos 1867 yang menyebut pembabitan orang Islam dalam kegiatan seumpama ittu sebagai perbuatan murtad. Orang Islam yang terbabit diseru bertaubat. Surat akuan diberikan kepada sesiapa yang tidak terbabit dalam kegiatan itu atau yang telah meninggalkan kongsi gelap. Bagi yang enggan bersumpah, mereka akan menerima nasib dipulaukan daripada masyarakat*(20).
Langkah kerajaan menggunakan ketua-ketua agama dilihat sebagai salah satu cara untuk menangani isu ini kerana pengaruh guru agama dalam masyarakat Melayu-Muslim amat kuat. Langkah-langkah yang lain ialah memperkenalkan beberapa ordinan dan di antara yang paling awal ialah The Dangerous Societies Suppression Ordinance XIX of 1869. Namun nama-nama Bendera Putih dan Bendera Merah hanya dimasukkan di dalam ordinan yang diperkenalkan pada 1882 iaitu Ordinance 1V 1882. Dipercayai pada masa itu barulah kerajaan lebih serius menangani masalah kongsi gelap di kalangan orang Melayu-Muslim kerana Ordinan ini dengan tegas menyebut orang bukan Cina yang menyertai kongsi gelap Cina akan didenda tidak melebihi $500.00. Denda yang berat juga akan dikenakan kepada sesiapa yang memiliki bendera atau apa-apa lambang dan tulisan sesuatu kongsi. Malah penghulu dan bilal turut dipertanggungjawabkan sekiranya barang-barang itu ditemui di kawasan masjid di mukim mereka*(21). Sementara itu penguatkuasaan Banishment Ordinance 1888, dan Societies Ordinance 1889 yang membolehkan kerajaan menghukum buang daerah terhadap ahli kongsi gelap yang cuba menghasut dan menghidupkan kembali kongsi gelap menjadikan kerajaan bertambah yakin bahawa kegiatan kongsi gelap secara menyeluruh akan dapat dihapuskan menjelang 1890*(22).
Nota Hujung
*(11) |
|
J. D. Vaughan 1854. “Notes on the Chinese of Pinang,” JIA, Jil. 8, No. 14, hlm. 17-20 |
*(12) |
|
Beberapa kajian tentang keterlibatan orang Melayu dalam kegiatan persatuan sulit di Pulau Pinang termasuk di Seberang Perai telahpun dihasilkan setakat ini. Lihat, misalnya, Mahani Musa 1999. “Malays and the Red and White Flag Societies in Penang, 1830s-1920s,” JMBRAS, Vol. LXX11, Part. 2, hlm. 151-182; Mahani Musa 2000. “Masyarakat Melayu-Muslim Pulau Pinang, 1830-an – 1930-an: Masalah Kepimpinan dan Pengaruh Kongsi Gelap,” dalam Mahani Musa dan Tan Liok Ee (peny.), Sorotan Terpilih Dalam Sejarah Malaysia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 61-87; Zainol Jusoh 1982. “Pulau Pinang dan Seberang Perai 1890-1940: Satu Kajian Mengenai Penglibatan Orang-orang Melayu dalam Pakatan Sulit Bendera Putih dan Bendera Merah,” Latihan Ilmiah, USM. |
*(13) |
|
Tabut ialah lambang yang diarak oleh pengikut shiah semasa sambutan Muharram. Lihat, Muhammad Ibrahim Munsyi. Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi ( dengan pengenalan dan anotasi oleh Mohd. Fadzil Othman 1980). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 110-12. Beliau menyaksikan “maulud cara Keling” di Hutton Lane semasa lawatan singkat ke negeri itu pada 1871. Dalam sambutan tersebut, tabut yang diarak adalah dalam bentuk kuda. |
*(14) |
|
Di bawah sistem ini banduan yang berkelakuan baik dibenarkan bekerja di luar penjara. Ramai daripada banduan yang dibebaskan dari tahanan membuat keputusan untuk menetap di negeri itu kerana sudah biasa dengan suasana di sekeliling mereka. |
*(15) |
|
Lihat J. D.Vaughan, “Notes on the Chinese of Pinang,” hlm. 13-14. Vaughan pernah menyaksikan kelakuan ganas anak-anak muda sewaktu sambutan Muharram . PGSC 22 Oktober 1853 juga melaporkan ketegangan sewaktu sambutan Muharram pada bulan berkenaan. Vaughan selaku Penguasa Polis waktu itu berjaya mengelakkan perarakan Jawi Pekan dan Kling bertembung di jalan yang sama. Pertembungan di jalan yang sama memang sengaja dirancang dan dinanti-nantikan oleh pihak yang terlibat. Meskipun polis dapat mengawal keadaan ini, perasaan dendam tetap diteruskan dan akhirnya pergaduhan tidak dapat dielakkan lagi. Dalam kejadian ini, kedua-dua pihak melepaskan dendam masing-masing dalam satu pergaduhan di Chowrasta. Empat orang ketua kumpulan itu telah ditangkap dan dikenakan denda. |
*(16) |
|
C.O. 273/518 The Malayan Bulletin of Political Intelligence, 25 November 1922 |
*(17) |
|
Lihat perbincangan Khoo Kay Kim 1975/76. “Keterlibatan Orang-orang Melayu dalam Persatuan-persatuan Sulit,” Jernal Sejarah, hlm. 63. |
*(18) |
|
Senarai kawasan di bawah pengaruh Bendera dan latar belakang orang yang terlibat ini diperolehi berdasarkan keterangan saksi PRCR. Lihat, misalnya, keterangan saksi No. 37, Mohamed Kader Houssain @ Pah Etam. Susunan ini juga boleh diperolehi daripada M. L. Wynne, Triad and Tabut: A Study of the Origin ang Diffusion of Chinese and Mohamedan Secret Societies in the Malay Peninsular A.D. 1800-1935, Singapore: Government Printing Office, hlm. 190 |
*(19) |
|
Historical Survey of the Mosques and Kramats on Penang Island 1974. Penang: Penang Teachers College, lampiran 4. |
*(20) |
|
Contoh surat akuan ini terdapat dalam buku catatan tokoh agama itu yang dipamerkan di Muzium Negeri Pulau Pinang di bawah tajuk “Buku Catatan Peribadi Sheikh Omar Basheer Dengan Rujukan Terhadap Rusuhan di Pulau Pinang Pada Tahun 1867.” Satu kajian telahpun dibuat terhadap diari ini. Lihat, Mahani Musa 1995. “Buku Catatan Peribadi Sheikh Omar Basheer Dengan Rujukan Terhadap Rusuhan Di Pulau Pinang Pada Tahun 1867: Satu Dokumen Sejarah Pulau Pinang Abad ke-19,” dalam Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng (peny.), Isu-isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr. R. Suntharalingam), Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 116-139 |
*(21) |
|
M. L. Wynne, Triad and Tabut, hlm. 390-395 |
*(22) |
|
C. O. 275 Annual Departmental Reports of the Straits Settlements for the year 1889 |
Boria Sebagai Saluran Merekrut Ahli Baru
Hasrat kerajaan untuk menyaksikan kegiatan kongsi gelap di negeri itu berkuburnya nampaknya tidak tercapai. Kegiatan tersebut di kalangan orang Cina mahupun Melayu masih berterusan namun dalam keadaan yang lebih tertutup untuk mengelakkan pengawasan polis. Kawalan ketat kerajaan ke atas kongsi Cina sebenarnya turut meninggalkan kesan kepada kongsi gelap Melayu. Mereka kini kehilangan penaung. Kegiatan kongsi Melayu kelihatan hilang arah dan muncul dalam berbagai bentuk di akhir abad ke-19, daripada kegiatan samseng jalanan hinggalah kepada permusuhan di tanah perkuburan dan perpecahan di masjid. Penyamaran ini berterusan sehingga abad ke-20 menerusi penubuhan kelab-kelab bolasepak untuk mengaburi mata pihak berkuasa.Tulisan tentang boria telah banyak dihasilkan setakat ini. Namun peranan boria sebagai saluran memperkembangkan kegiatan kongsi gelap Melayu tidak banyak diperkatakan. Permainan ini dipercayai lahir daripada perarakan oleh orang Muslim Shiah sewaktu bulan Muharram. Mereka membentuk kumpulan yang menyanyikan lagu-lagu ratapan sebagai mengenang kembali peristiwa kematian Saidina Husin di peperangan Karbala pada hari ke-10 bulan Muharram sewaktu menentang Yazid bin Muawiyah. Corak sambutan yang aman ini tidak kekal lama kerana selepas itu ia mula dipergunakan oleh ahli kongsi gelap Melayu sebagai medan untuk tunjuk siapa lebih handal. Vaughan pernah menyaksikan bagaimana kumpulan muzik yang terdiri daripada anak-anak muda ini bertindak di luar batasan dan menganggu orang lain yang benar-benar ingin menyambut sambutan tersebut. Mereka bukan sahaja mengubah sambutan tersebut kepada pesta sukaria namun juga menjadi medan pertumpahan darah. Perubahan ini dapat dikesan melalui lagu-lagu yang dinyanyikan yang bukan lagi berunsur ratapan tetapi lebih kepada cabar mencabar untuk membangkitkan kemarahan pihak lawan.
Kawalan kerajaan selepas Rusuhan Pulau Pinang 1867 menjadikan boria sebagai saluran penting untuk meneruskan kegiatan Bendera Putih dan Bendera Merah. Boria menjadi saluran mendapatkan ahli-ahli baru*(23). Setiap kawasan yang terlibat dalam kumpulan Bendera menubuhkan pasukan boria masing-masing. Boria melambangkan prestij dan pengaruh ketika itu. Sesebuah kampung atau mukim yang tidak mempunyai kumpulan boria dianggap memalukan*(24). Peluang untuk bergerak juga lebih cerah kerana kerajaan melihat boria sebagai suatu bentuk budaya. Malah ia begitu diminati bukan sahaja oleh orang Melayu-Muslim tetapi juga oleh pegawai kerajaan, orang Eropah yang tinggal di negeri itu dan juga orang-orang Cina. Malah taukeh-taukeh Cina turut menaja sesebuah kumpulan boria. Perkara ini bukanlah luarbiasa ekoran persahabatan yang telah sekian lama wujud di antara kongsi gelap Cina dengan kongsi gelap Melayu.
Menjelang 1920, terdapat sekurang-kurangnya empat puluh hingga lima puluh pasukan boria di Pulau Pinang yang masing-masing bernaung di bawah Bendera Putih dan Bendera Merah. Di antara pasukan boria di bawah pengaruh Bendera Merah ialah Boria Mukim Jelutong, Boria Kampung Pinang, Boria Bagan Jermal, Boria Jalan Hatin, Boria Sungai Gelugor, Boria Kampung Rawana, Boria Kelawai, Boria Gedung Rumput (sekarang King Street), Boria Kampong Ambun (sekarang Penang Road-Northam Road), Boria Ujung Pancur (sekarang Transfer Road-Northam Road) dan Boria Argyl Road.
Menjelang 1920, terdapat sekurang-kurangnya empat puluh hingga lima puluh pasukan boria di Pulau Pinang yang masing-masing bernaung di bawah Bendera Putih dan Bendera Merah. Di antara pasukan boria di bawah pengaruh Bendera Merah ialah Boria Mukim Jelutong, Boria Kampung Pinang, Boria Bagan Jermal, Boria Jalan Hatin, Boria Sungai Gelugor, Boria Kampung Rawana, Boria Kelawai, Boria Gedung Rumput (sekarang King Street), Boria Kampong Ambun (sekarang Penang Road-Northam Road), Boria Ujung Pancur (sekarang Transfer Road-Northam Road) dan Boria Argyl Road.
Pasukan boria yang berada di bawah pengaruh Bendera Putih pula seperti Boria Titi Papan (sekarang Penang Road-Chowrasta Market), Boria Padang Garam (sekarang Carnavon Street-Kimberley Street), Boria Tanjong Tokong, Boria Air Itam, Boria Kampong Jawa, Boria Kampong Dodol, Boria Kebun Lama, Boria Kampong Makam, Boria Kampong Kolam, Boria Jalan Sampah (sekarang Acheen Street), Boria Lorong Takian (sekarang Ah Quee Street), Boria Kampong Lada (sekarang Armenian Street), Boria Pintal Tali (sekarang Rope Walk) dan Boria Bakar Bata (sekarang Bricklin Road)*(25). Contoh pantun boria yang bersifat cabar mencabar di antara pasukan Bendera Putih dan Bendera Merah adalah seperti berikut:
Nota Hujung
*(23) |
|
“The Boria in Perak,” The Malayan Police Magazine, 8 (1), 1935, hlm. 26-7 |
*(24) |
|
Haji Abu Bakar bin Jaafar (Pak Kan) 1980. “Boria”, Siri Mengenal Budaya, Bil. 5, Kuala Lumpur: Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hlm. 8 |
*(25) |
|
Mahd. Ishak Abdul Aziz 1979. “Sejarah Boria,” Kuala Lumpur: Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia, Lampiran A. |
Boria Tanjung Tokong (Bendera Merah)
Kita askhar di Tanjong Janggi
Kerja menanam gandun barley
Masok berniaga di tanah Jawi
Tanjong Tokong sedia menanti
Boria Mukim Kelawai (Bendera Merah)
Badui tua di kaki bukit
Keluar menjaga Masyrik ke Maghrib
Badui Arfah ampunya murid
Mukim Kelawai sedia tauhid
Boria Kampong Jawa (Bendera Putih)
Askar Takrubi kaum bebas
Padang peperangan baharu terlepas
Menangkap negeri terlalu pantas
Di kampong Jawa aturan jelas*(26)
Boria Padang Garam (Bendera Putih)
Askar Yunan Kuantong sama
Sudah ‘resi’ daripada Cina
Keluar mencari som kom koma
Anak Padang selamat sempurna
Permainan boria meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat Melayu-Muslim di Pulau Pinang. Selain daripada memecah-belahkan orang Islam kepada hidup berpuak-puak mengikut kawasan pengaruh kumpulan Bendera, ia menjadikan orang Melayu waktu itu mundur jika dibandingkan dengan bangsa lain. Selama berlangsungnya sambutan Muharram, anak-anak muda ponteng kerja dan kanak-kanak tidak bersekolah. Suami mengabaikan rumahtangga sehingga ada yang dibuang kerja kerana leka bermain boria. Agama Islam semakin tercemar kerana ahli pasukan boria biasanya minum arak sebelum bergaduh dengan pihak lawan*(27). Pengaruh Bendera Putih dan Bendera Merah hanya semakin berkurangan apabila langkah mengawal dan menghapuskan boria dibuat oleh kerajaan dan pemimpin-pemimpin agama di negeri itu menjelang abad ke-20.
Nota Hujung
*(26) |
|
Dipetik daripada A. W. Hamilton, “Boria,” JSBRAS, September 1920, No. 82, hlm. 142-144 |
*(27) |
|
Soal permainan boria dan kemunduran orang Melayu-Muslim ini pernah diketengahkan oleh Mohd. Yusoff Sultan Maidin dalam bukunya bertajuk Boria dan Benchananya yang diterbitkan di Pulau Pinang pada tahun 1922. |
Penutup
Sejak pertengahan abad ke-19, sebahagian besar kawasan yang didiami oleh orang Melayu di bandar dan di luar bandar Georgetown serta Seberang Perai “ditawan” oleh kongsi gelap Bendera Putih dan Bendera Merah. Kedua-dua kongsi gelap Melayu ini begitu berpengaruh dan menjadi “kerajaan tidak rasmi” bagi orang Melayu-Muslim sehingga abad ke-20 meskipun langkah kawalan diperkenalkan oleh kerajaan dan tokoh agama di negeri itu. Lenyapnya pengaruh kongsi gelap ini sebenarnya berkait rapat dengan perubahan yang dialami oleh orang Melayu-Muslim sendiri terutama dari segi pendidikan dan peranan ulama mengeluarkan fatwa mengharamkan boria. Apabila kesedaran muncul di kalangan ketua-ketua pasukan yang terbabit maka pengaruh permainan itu ke atas orang Melayu-Muslim semakin berkurangan. Namun perubahan ini mengambil masa yang panjang dan unsur bermain boria semakin berubah corak kepada bentuk yang dapat dilihat pada hari ini selepas Perang Dunia Kedua. Sejak itu juga pengaruh Bendera Putih dan Bendera Merah beransur hilang kerana pada masa yang sama persatuan-persatuan alternatif semakin banyak muncul di negeri itu.
Nota Hujung
*(28) |
|
Pada 1920, satu fatwa dikeluarkan oleh Sheikh Zakaria bin Omar Basheer (mufti), Tuan Haji Daud bin Tamim dan Tuan Haji Mustapha bin Ismail (Kadhi) yang mengharamkan boria. Fatwa ini dilekatkan di masjid-masjid di sekitar bandar Georgetown. Alim ulama juga giat menasihati orang Islam tentang keburukan permainan boria. Lihat, Mohd. Yusoff Sultan Maidin, Boria dan Benchananya, lampiran Surat Kuning. |
*(29) |
|
Untuk maklumat lanjut tentang kempen memerangi boria sejak dekad pertama abad ke-20 dan tindakan yang berupa keinsafan di kalangan pemimpin boria, lihat, Mahani Musa, “Malays and The Red and White Flag Societies in Penang, ” hlm. 178-179 |
Bibliografi
1. |
|
C.O. 275, Annual Departmental Reports of the Straits Settlements dari tahun 1856-1929 |
2. |
|
C.O. 273/518, The Malayan Bulletin of Political Intelligence, 25 November 1922
PGSC, dari tahun 1844-1914. |
3. |
|
Anson, E. A. H., 1920. About Others and Myself, 1745-1920, London: John Murray |
4. |
|
Blythe, W, 1969. The Impact of the Chinese Secret Societies in Malaya, London: Oxford University Press. |
5. |
|
“The Boria in Perak,” The Malayan Police Magazine, 8 (1), 1935. |
6. |
|
Braddell, T., 1861. Statistics of the British Possessions in the Straits of Malacca, Pinang: Pinang Gazette Office. |
7. |
|
Haji Abu bakar bin Jaafar (Pak Kan) 1980. “Boria,” Siri Mengenal Budaya, Kuala Lumpur: Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. |
8. |
|
Hamilton, A. W., 1920. “Boria,” JSBRAS, 82. |
9. |
|
Historical Survey of the Mosques and Kramats on Penang Island 1974. Penang: Penang Teachers College. |
10. |
|
Houghton, G. T., 1897. “Boriah,” JSBRAS, 30. |
11. |
|
Khoo Kay Kim 1975/76. “Keterlibatan Orang-orang Melayu dalam Persatuan-persatuan Sulit,” Jernal Sejarah. |
12. |
|
Logan, J. R. (peny.)1850. “Notices of Pinang,” JIA, Jil. 4. |
13. |
|
Mahani Musa 2000. “Masyarakat Melayu-Muslim Pulau Pinang, 1830-an -1930-an: Masalah Kepimpinan dan Pengaruh Kongsi Gelap,” dalam Mahani Musa dan Tan Liok Ee (peny.) Sorotan Terpilih Dalam Sejarah Malaysia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
—————– 1999. “Malays and The Red and White Flag Societies in Penang, 1830s-1920s, JMBRAS, Jil. LXX11, Bah. 2.
—————– 1995. “Buku Catatan Peribadi Sheikh Omar Basheer Dengan Rujukan Terhadap Rusuhan Di Pulau pinang pada tahun 1867: Satu Dokumen Sejarah Pulau Pinang Abad ke-19,” dalam Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng (peny.) Isu-isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam), Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. |
14. |
|
Mahd. Ishak Abdul Aziz 1979. “Sejarah Boria,” Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. |
15. |
|
McNair, J. F. A., 1899. Prisoners Their Own Warders: A Record of Convict Prison at Singapore in the Straits Settlements Established 1825, discontinued 1873, together with a Cursory History of the Convict Establishment at Bencoolen, Penang and Malacca from the year 1797, London: Archibald Constable. |
16. |
|
Mohd. Yusoff Sultan Maidin 1922, Boria dan Benchananya, Penang: Merchantile Press. |
17. |
|
Muhammad Ibrahim Munsyi, Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi (dengan Pengenalan dan Anotasi oleh Mohd Fadzil Othman 1980). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. |
18. |
|
Omar Farouk Shaeik Ahmad 1978. “The Arabs in Penang,” Malaysia in History, Jil.21, Bil. 2. The Penang Riots Reports 1867: Report of the Commissioners Appointed Under Act XXI of 1867, to Enquire into The Penang Riots (PRCR), Penang: Argus Press, 1868. |
19. |
|
Sarnia Hayes Hoyt 1991. Old Penang, Singapore: Oxford University Press. |
20. |
|
Stirling, W. G., 1925. “The Red and White Flag Societies,” JMBRAS, Jil. 1. No. 1. |
21. |
|
Turnbull, C. M., 1972. The Straits Settlements 1826-1867: Indian Presidency to Crown Colony, London: Athlone Press. |
22. |
|
Vaughan, J. D., 1854. “Notes on the Chinese of Pinang,” JIA, Jil. 8, No. 14.
—————–, 1857. “Notes on the Malays of Pinang and Province Wellesley, JIA, Jil. 2. |
23. |
|
Wynne, M. L., 1941. Triad and Tabut: A Study of the Origin and Diffusion of Chinese and Mohamedan Secret Societies in the Malay Peninsular A.D. 1800-1935, Singapore: Government Printing Office. |
24. |
|
Zainol Jusoh 1982. “Pulau Pinang dan Seberang Perai 1890-1940: Satu Kajian Mengenai Penglibatan Orang-orang Melayu dalam Pakatan Sulit Bendera Putih dan Bendera Merah,” Latihan Ilmiah, USM. |
|