Ekologi Sosial Masyarakat Di Persisiran Pantai Prai dan Pulau Pinang Prof. Madya Mohd. Razha Rashid Universiti Sains Malaysia |
|||||||||||||||||||||||||||||||||||
Pengenalan: Ethnografi Retrospektif
Kertas ini membentangkan olahan ringkas ethnografi rekonstruktif berdasar empat unsur yang disebut. Bentuk dan corak pemukiman serta adaptasi sosial orang Melayu di persisiran pantai kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai Prai dan Pulau Pinang tidak jauh berbeza dari ragam pengeluaran dan corak penempatan orang Melayu sekarang dalam zaman sebelum bermula sejarah dicatit*(1) Peninggalan Warisan Pemukiman Pra-Sejarah Seberang Prai Dalam tahun 1860, cebisan tengkorak ditemui dalam himpunan kekerang sepuluh batu dari Sungai Muda di kawasan Penaga dan Tanjung Bendahari Seberang Prai (Province Wellesley) dan pada tahun 1934 sebatang tulang dagu ditemui dalam himpunan kekerang di Guar Kepah, Seberang Prai. Pada tahun 1863, tengkorak dikenalpasti oleh Professor Huxley, seorang ahli arkeologi terkenal, sebagai tengkorak dan tulang dagu satu bangsa yang sama iras dengan Palae-Malenesian. Dari peninggalan yang ditemui dan kajian jelas bahawa kawasan Seberang Prai diduduki oleh kumpulan kacukan (Australoid, Malanesoid dan Negritic Pymy) yang sekarang ini diklasifikasikan dalam kumpulan orang asli kaum Semang-Pangan. Oleh kerana pemukiman orang-orang Semang berbentuk pindah dan bersara hidup sekitar kawasan pusat maka cara memburu dan merumu pemukiman kumpulan ini biasanya diambil alih oleh kumpulan lain yang bermukim secara tetap. Bagi kumpulan yang ragam ekologi-budaya berteraskan pertanian tetap, terutamanya padi paya dan sawah di atas kawasan yang dipugar, sistem sosialjuga berteraskan institusi budaya yang menyokong ketetapan (permanency). Pemukiman orang Melayu di persisiran pantai sejak abad ke 6 Masihi, dijelaskan oleh ahli sejarah berdasarkan sumber historiografi (Andaya 96:11). Malah muara semua sungai di persisiran Selat Melaka yang boleh dimudik dari Kuala Selinsing hingga ke Sungai Setoi menjadi pemukiman termasuk tiga sungai penting di persisiran Seberang Prai iaitu Sungai Kerian, Sungai Juru, Sungai Jejawi, Sungai Prai dan Sungai Muda*(3) Orang Melayu mengambil alih penempatan orang asli Negrito-Semang di kawasan Seberang Prai melalui proses pemukiman meneroka bermudik ke hulu. Bagaimanapun, peninggalan orang asli di Wilayah Seberang Prai masih terukir dalam sebutan nama tempat. Yang paling jelas ialah Kubang Semang. Mengikut catatan ahli ethnografi awal (Evans 1937, Braddel 1954, Diffloth 1977) dua kumpulan Semang-Pangan tanah datar paling terakhir berada pada sekitar 1923 di kawasan Seberang Prai Selatan di sekitar Bandar Baru, di Guar Kepah serta Lahar Yoi ialah kumpulan Semang-Pangan dari suku Juru dan Yen (Yan) yang sekarang ditakrifkan sebagai kumpulan budaya/bangsa yang sudah pupus. Pempupusan satu kumpulan budaya/bangsa adalah persoalan yang kompleks yang melibatkan faktor demografi ekologi dan geo-politik. Sebab kepupusan yang paling ketara ialah pertembungan dengan budaya yang ekologi-budaya lebih berbeza dalam pengendalian. Penempatan orang Melayu berteraskan pertanian padi bersawah memerlukan pemugaran tanah pamah dan secara langsung dan dalam jangkamasa panjang akan melanda ruang ekologi-budaya kumpulan Semang. Ekologi-budaya orang Melayu bersawah yang bercanggah secara langsung dengan ragam pengeluaran orang Semang-Pangan tanah datar (low country Semang) menyebabkan perunduran orang asli ke pendalaman tanah tinggi. Pengedaran orang Semang dari Wilayah Seberang Prai berlaku sejak masa silam di sekitar 900 tahun dulu dan tiba pada pertengahan abad ke 16, hampir semua kawasan pantai di utara Semenanjung dipermukimkan oleh orang ‘Melayu’. Ekologi Budaya Orang Melayu di Persisiran Pantai Seberang Prai Lazimnya, di mana ada tanah pamah berpaya bersisir sungai yang berkuala yang boleh dimudik (navigable upstream) akan ada penempatan. Penempatan yang bercorak ekonomi cempuran bersawah dan bernelayan (dual economy settlement) memang jelas wujud sejak kurun ke 6 di persisiran tiga sungai besar di persisiran Seberang Prai: Kuala Sungai Muda, Kuala Sungai Juru dan Sungai Jejawi dan Sungai Kerian. Walaupun penempatan ini tidak dapat disahkan dengan peninggalan artifak arkeologi, namun dengan sorotan ekologi-budaya boleh dipastikan bahawa Seberang Prai telah dipermukimkan oleh orang Melayu sejak sekurang-kurangnya 1000 tahun. Episod sejarah yang menampakkan dengan jelas kependudukan orang Melayu di Seberang Prai ialah kedatangan pelarian dari Kedah di Seberang Prai bila saja Kedah terancam. Penempatan Melayu di Pulau Pinang Mengikut Historiografi Georgetown atau Tanjong Penaga terbukti sememangnya penempatan perkampungan singgah para nelayan dari Kuala Muda. Pemukiman di Pulau Pinang berasaskan ekonomi tani (sawah) dan penangkapan ikan tidak begitu meluas seperti di Seberang Prai. Bagaimanpun memang terdapat pemukiman di sekeliling pantai Pulau Pinang di luar kawasan penempatan Georgetown. Dua kawasan yang disebut sebagai kawasan sawah dan pemukiman yang sangat lama dan didiami sepenuhnya oleh orang Melayu ialah kawasan Sg. Batu Maung dan kawasan Sg. Batu, persekitaran Telok Kumbar. (Braddell 1861). Kependudukan di Pulau Pinang berkembang dengan pesat, tertumpu pada persekitaran Georgetwon atau dalam sebutan tempatan, Tanjung. Pada tahun 1820, iaitu hampir 20 tahun selepas Pulau Pinang diambil secara rasmi dari kerajaan Kedah, penduduk Pulau Pinang berjumlah 35,000 orang. (Newbold. 1971 (1839)). Separuh dari penduduk dikategorikan sebagai “orang Melayu”. Bagaimanapun mengikut Low (1836), hampir setengah dari penduduk Melayu di Pualau Pinang bermukim di luar kawasan Tanjung; tersebar luar di sekitar perkampungan di keliling pulau dengan konsetrasi tertinggi di kawasan selatan Pulau Pinang, Batu Uban, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau. Mengikut penceritaan, perkampungan Batu Uban adalah antara pemukiman yang terawal dalam penempatan orang Melayu di pulau. Mengikut cerita, asalnya Batu Uban adalah tempat persinggahan pedagang Acheh yang belayar melalui selat antara Pulau Jerejak dan Pulau Pinang berulang-alik dari Kuala Merbuk ke Pidi. Walaupun Batu Uban tidak menepati suasana ekologi-budaya orang Melayu (ketiadaan tanah pamah untuk sawah atau anak sungai atau carok membekal air tawar), lokasi penemptan ini adalah terpelihara dari gelombang dan angin. Perkampungan nelayan Melayu dan Acheh tertumpu pada sebuah perigi air tawar yang terletak di kawasan yang dipasangi air masin. Begitu juga tanah perkuburan di Batu Uban adalah antara kubur yang terawal di Pulau Pinang. Penempatan lain di Pulau Pinang dan Seberang Prai adalah bercorak penempatan berasaskan ekonomi bersawah dan disampingkan dengan penangkapan ikan. Mengikut Low, teknologi persawahan dan pengawetan bahan makanan orang Melayu sama dengan amalan orang Siam dari orang Melayu Rawa di Sumatera (Low 1972 (1839) : 10-16) Penutup Di bawah tangan Inggeris, Pulau Pinang berkembang dengan pesat dengan kependudukan yang berbudaya majmuk. Orang Melayu secara umumnya tinggal dari abad kedua sehinggalah ke hari ini relatifnya tidak berubah dari ekologi budaya. Sepanjang perkembangan Pulau Pinang, Penampilan orang Melayu didatangi oleh masyarakat lain, terutamanya kaun India dan Cina malah pemukiman yang dulu jelas diterokai oleh orang Melayu sudah diambilalih seperti mana 200 Melayu meminggirkan orang-orang asli. Nota Hujung *(2) Istilah Melayu digunakan dalam kontek penggunaan generik sepertimana yang digunakan oleh penulis Inggeris seperti J. Low, Braddell dan J. Cameron. ‘Classificatory Malay’ termasuk orang Bugis, Minangkabau, Melayu Deli dan Mendeling. Istilah Melayu termasuk orang keturunan arab dan jawi peranakan atau jawi pekan. Pada tahun 1923 jawi peranakan dan arab di Pulau Pinang dibanci sebagai berasingan dari kategori Melayu. *(3) Empat sungai penting di Seberang Prai tidak disebut secara langsung dalam bahan historiografi secara extrapolasi dari bahan bukan Inggeris, erutama Hikayat Petani dan catatan pelayar muara sungai ini dicatatkan sebagai tempat pedagang awal (kurun 4-6) membeli barangan hasil hutan yang dibawa ke India dan China. Untuk maklumat lanjut, rujuk Ahmad Jelani Halimi (1999). Rujukan
|